Lelaki Berpangkat Mejar Ini Ceritakan Pengalaman Seram Beliau Diganggu ‘Langsuir’ Ketika Menjaga Sempadan Malaysia Thailand

(gambar sekadar hiasan)

Tahun 1999, waktu itu saya baru pangkat Leftenan Muda berumur 22 tahun, didalam batalion ke 16 RAMD diarahkan bertugas operasi keselamatan di sempadan. Kami masuk Op Pagar. Namanya Op Pagar kerana kami betul-betul ditempatkan di tepi pagar sempadan Malaysia Thailand.

Selari dengan pagar itu, ada 1 jalan mini tar yg menyambungkan pos-pos kawalan tentera. Dulu ada 13 pos penempatan tentera yg ada ketika itu (sekarang saya tak tahu berapa yg ada). Ketua kompeni saya ditempatkan di pos no 10, betul-betul di hujung ladang Mardi Bukit Tangga, belakang UUM.

Saya pula diletakkan di pos no 11 (sekarang pos itu dah ditutup, gambar ada dibawah) . Jadi kedudukan kami betul-betul di tepi hutan di sempadan negara. Pos 11 ini unik, ada 6 buah pondok penginapan dibuat dari kayu beratapkan zink, yg muat hanya 2 orang saja tiap pondok. Kiranya macam pondok tunggu durian, cuma berdinding dan ada katil kayu kecil.

Tak ada paip air, hanya guna air hujan dan perigi kecil. Kalau tak hujan, kami minum dan mandi guna perigi yg keruh itu. Eletrik pun tak ada, hanya ada generator kecil, itupun dipasang hanya 3 jam setiap malam untuk jimat bekalan minyak. Jadi siang malam pos kami ini hanya kedengaran bunyi2 hutan saja sebagai hiburan. Kami duduk situ selama 2 bulan. Itulah namanya pengorbanan.

(Tentang tugas-tugas dalam operasi, saya tak perlulah cerita. Kita tumpu pada kisah langsuir saja ye?)

Selepas seminggu duduk disitu, langsung tak hujan, masalah air sudah kritikal. Jadi saya pun cari punca air di keliling pos. Kebetulan, ada satu alor anak sungai yg jaraknya 150m dari pos tapi dalam hutan. Air di alor itu amat kecil, hanya meleleh sebesar ibu jari saja. Saya pun arahkan semua platun saya buat gotong royong bina empangan air kecil dengan pokok-pokok untuk takung air itu. Selepas 3 hari, siaplah ‘empangan’ kecil kami, sedalam 1 meter. Besarnya pun hanya dua depa. Bolehlah buat mandi dan air nak memasak.

Satu malam, lebih kurang jam 8 malam, selepas generator sudah on, dua orang anak buah saya dalam gelap pergi ke tadahan air itu nak ambil air untuk masak. Sampai di situ, mereka suluh dengan lampu, nampak satu lembaga perempuan rambut panjang, tengah mencangkung dan ‘macam kunyah’ bangkai katak! Dengan darah penuh di mulut dan badannya. Apalagi, terkejut dan larilah anak buah saya. Mereka beritahu saya hal itu, saya hanya diam saja tak kata apa-apa.

Selepas generator ditutup pukul 9 malam, pos jadi gelap gelita… Saya cuba tidur tapi tak boleh kerana hati rasa tak tenang. Tiba-tiba… ada suara lembut tapi seram, saya dengar di balik dinding kayu pondok saya… “Fitriiiiiii…. fitriiiiii… mariiiii… fitriiii…”

Terus saya bangun dan capai senjata M16 carbine saya dalam gelap. Saya jerkah, “Hoiiiii!!!” Terus benda tu pergi jauh sambil mengilai eiiiii eiiiik eikkkkkk eeiiiii.. jantung saya berdebar, apa pula dugaan aku kena ni! 😰

Saya jerit panggil pengawal yg bertugas menjaga pos waktu malam, “Guard! Siapa yg bertugas sekarang?” Senyap, tak ada balasan. Saya panggil lagi… senyap lagi. “Ishhh, mana pergi askar aku ni. Mati dah ke?” Detik hati saya. Saya ambil lampu suluh, berjalan ke tempat pos pengawal. Laa, tertidur rupanya dia. Keletihan tugas meronda waktu siang tadilah tu.. Hmmmm.. 🤔

Esoknya, waktu nak mandi pagi, saya turun ke tempat itu. Betul, ada beberapa bangkai katak yg sudah digigit dan dihancurkan. Saya pandang ke atas lihat keadaan pokok dikeliling situ sambil dengar suasana yg sunyi… “oh, rupanya aku dah salah tempat buat tempat empangan ni. Patutlah, aku terlupa. Kelam kabut waktu cari punca air, sampai lupa nak ikut petua. Aduhhhh.. dah nasib. Hadap sajalah”

Malam itu, OC saya, Mejar Rosli bin Hassan, yg berada di pos no 10 panggil saya ke pos dia untuk mesyuarat. Alamak, dah la jauh dari saya, waktu malam pulak tu. Tak kan saya nak kena jalan kaki di mini tar tengah hutan yg gelap seorang diri? Aduhhhhh…

Mejar Rosli panggil saya dengan radio tentera, suruh saya ke tempat dia untuk mesyuarat. Saya pun mahu tak mahu, kena pergi walau terpaksa jalan kaki seorang diri. Taat Setia saya sebagai askar melayu, perintah boss saya patuhi. Pukul 8.30 malam, saya bawa senjata M16 saya, saya mula jalan kaki di jalan tar mini itu sejauh 2 km menuju pos no 10.

Saya bawa lampu suluh, tapi saya tak guna pun, kerana saya tak mahu tarik perhatian binatang liar. Jadi saya berjalan dalam gelap, hanya guna cahaya bulan sabit saja. Sedang berjalan di jalan mini tar yg dikiri kanan hanyalah hutan, tiba tiba berbunyi… prakkkk prakk, bunyi ranting dipatahkan. Saya berhenti. Pandang kiri kanan, saya risau kalau-kalau binatang liar. Saya cekah senjata dan bersedia, saya tidak bergerak. Saya perhati betul-betul dikiri dan kanan.

Tiba-tiba.. didepan saya, lebih kurang 50meter di atas jalan tar itu, saya nampak susuk macam perempuan sedang berdiri. Allahhhhhuakbar! Saya cepat-cepat buka lampu dan suluh. Ya Allah… langsuir! Sedang berdiri tegak dengan rambut panjang di tengah jalan menghalang jalan saya nak ke pos Mejar Rosli. Dalam hati, “aaahh kena dah aku kali ni”. Saya mula rasa takut.

Saya terus teringat ilmu guru saya beri. Saya melutut di tanah, dua-dua jari manis saya pula tikam ke tanah. Saya tarik nafas dan baca “a’uzubi kalimatillahi ttammatimin syarri ma kholaq” 3kali, al fatihah 1 kali, baca 3 qul, dan baca innaja’alna fia’naqihim …sampai habis.. (ayat 8-9 surah yasin). Lepas itu saya tarik nafas, tahan, saya sapu kening-kening saya dengan jari manis, sapu muka dengan tapak tangan dan sampai ke dada.

Saya tepuk dua-dua tangan saya ke tanah dan jerit Allahuakbar!! Terus saya bangun berdiri tegak. Hilang rasa takut, terus jadi garang seperti harimau. Nafas saya di hidung jadi panas dan mata saya jadi tajam. Saya lihat langsuir itu masih berdiri. Saya jadi marah terus berlari kejar kearah dia. Langsuir itu terus terbang ke arah hutan.

Saya berhenti kejar dia, dada saya naik turun. Saya terus berzikir nafas para wali.. Ya Rahim waktu tarik nafas, dan Ya Rahman ketika lepas nafas. Tenangkan degupan jantung. Saya teruskan berjalan ke depan sambil jari genggam senjata saya dengan kuat. Mulut dan nafas terus berzikir.. ya rahman.. ya rohim..

Setelah sampai di tempat Mejar Rosli, beliau ajak saya minum teh dan makan kueh. Laaa.. saya ingatkan dia panggil ada mesyuarat, rupanya dia tengah bosan dan saja nak ajak saya layan cerita hindustan dengan dia. Waktu itu baru keluar VCD cerita Kuch Kuch Hota Hei.. aduhai, saya tepuk dahi, layan je lah, dia kan boss saya. 😅

Maka saya pun layanlah cerita hindustan dengan dia. Habis saja, dia sambung pula dengan Dil To Pagal Hei. Tempat dia tak apa, generator ada dua, stok minyak pun banyak, jadi boleh on generator sampai lewat malam.

Pukul 2 pagi, tamat dah semua cerita hindustan itu. Saya minta tolong dari Mejar Rosli untuk hantar saya pulang ke tempat saya. Nasib baik dia bagi kereta land rover dia. Kalau tidak, terpaksalah saya jalan kaki semula ke tempat saya. Pemandu Mejar Rosli dan seorang lagi anggota tentera, hantar saya pulang pukul 2.30 pagi. Selamat saya… 😅

Beberapa malam tiada gangguan.. tapi, di satu malam selepas itu, dalam gelap gelita, sedang saya nyenyak tidur di pondok saya, tiba-tiba ada benda jatuh atas atap zink saya. Gedegummm bunyinya. Saya terjaga. Kemudian bunyi di atap zink anak buah saya pula, gedegum! Berdentum pula ke pondok-pondok lain. Bunyi mengilai mula kuat eeeiiikk eeiii eeeeiikkk. Saya capai senjata M16 dan terus keluar dari pondok. Saya tengok anak-anak buah saya pun keluar dari pondok masing- masing. Celaka punya langsuir. Dia lompat dari bumbung ke bumbung sambil mengilai!

“Tuan, disini tuan!” Anak buah saya panggil saya. Cepat-cepat saya suluh arah dia tunjuk. Kami nampak langsuir sedang peluk batang pokok yg tinggi sambil pandang kami di bawah dengan muka yg garang. Saya baca “kaf ha ya a’in sod.. ha mim a’in sin qof”.. . terus saya tembak dia. Pommm! Dia hilang dari pandangan. “Cepat buka generator, pasang lampu semua!” Saya arahkan. Tengok jam, pukul 2 pagi. Ah, ini semua masalah ni, saya sebagai ketua, kena cari jalan. Kalau tidak, macam mana kami nak duduk sini buat operasi 2 bulan!

Esok malamnya, saya duduk bersendirian dan mula baca ayat2 Quran seperti yg guru saya ajarkan. Saya seru panggil ketua jin Islam yg saya berkenalan waktu saya operasi Gubir di hutan Empangan Ahning, Kedah (baca kisah sebelum ini).. Beliau tiba dalam pondok saya, dengan bau yg wangi, beri salam dan berbincang dengan saya.. Beliau setuju untuk hantar jin-jin Islam bantu saya kawal kawasan itu sementara saya sibuk buat kerja-kerja operasi disitu.

Sejak itu tak ada lagi gangguan dari langsuir itu. Tamat dua bulan operasi, saya pulang ke kem di Kelantan, dan jin2 islam itu juga pulang ke tempatnya. Apa jadi pada orang yg operasi selepas saya, entahlah. Pandai-pandailah mereka bawa diri. (Atas sebab peribadi, saya sudah putuskan segala hubungan dengan semua jin islam itu di Masjid Jin, Mekah sewaktu saya umrah tahun 2013)

LANGSUIR
Langsuir ni orang kata, macam pontianak, satu jenis setan yg amat hodoh, mukanya kulit kusam dan macam daging hanyir. Tak pakai kain putih macam dalam tv, tapi kainnya warna kotor koyak2. Langsuir ni ‘tak ada tuan’, duduk tepi hutan. Kalau dia terbang dia mengilai bunyi ieee ieeeek iekkkk… Suka bertenggek bercangkung di dahan pokok, jarang turun ke tanah. Dia suka ikut orang berjalan di belakang.

Kawasan dia selalunya di alor anak sungai kecil di kepala bukit. Kalau kita berani jerkah dia tengah bertenggek, dia akan terbang sampai ‘terkencing’. Air kencingnya amat busuk! Kalau kena baju kita, memang kena bakar je baju tu sebab baunya tak hilang. Dia panggil nama kita dengan suara seram dia. Itu orang yg kata.. saya bukan pakar ye! 😅

Pengajaran=
1. Kalau kamu ajar diri dan keturunan kamu jadi penakut, maka segala makhluk lain akan jadi berani pada kamu. Orang yg berani jarang dapat hidup lama atas dunia.. Dan orang yg penakut tidak pernah rasa sebenar-benar hidup atas dunia.

2. Jika kamu belajar dan hafal 100 ilmu sekalipun, tapi hati kamu tak yakin dengan ilmu yg kamu sudah belajar .. maka ilmu itu tidak akan jadi ilmu yg ada hikmat dan tidak memberi manfaat. Jangan jadi burung kakak tua, kamu itu manusia. Jadi.. biarlah belajar sedikit tapi yakin sepenuh hati, dari belajar banyak tapi tidak berguna sampai ke mati.

3. Belajarlah ilmu moden dan ilmu tradisional untuk kelangsungan hidup. Tetapi syaratnya.. Ilmu moden dan ilmu tradisional kenalah saling melengkap, bukan saling melingkup.

Akhir kata dari saya, insan kecil dari kampung yg merantau mencari rezeki di tempat orang.. Saya bukan insan yg hebat, Allah saja yg Maha Hebat.

Begitulah kisah pengalaman saya melawan langsuir. Cukuplah 3 kisah saya mistik saya sudah cerita (setan di rumah, jin islam di hutan, langsuir di operasi). Cerita-cerita saya yg lain, biarlah saya cerita pada anak cucu saya dimasa depan. Sekian..

FB Mohd Fitri

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *