‘Eh, Pintu rumah akak terbuka ni’ – Pemilik terkejut brader Pos Laju beritahu rumahnya di Putrajaya dipecah masuk

Hancur luluh hati pasangan suami isteri apabila dimaklumkan bahawa rumah mereka di Putrajaya dipecah masuk dan mengalami kerugian kira-kira RM1,000. Lebih menyedihkan, wang simpanan mereka berjumlah RM500 yang dikumpul untuk belanja dapur di bulan ramadan ini turut dilesapkan.

Pasangan itu hanya mengetahui kejadian itu selepas dimaklumkan oleh kakitangan Pos Laju. Mereka yang berada di Kota Tinggi pada waktu itu terus bergegas pulang ke Putrajaya dan melihat sendiri kediaman mereka berselerak angkara penyamun.

Berdasarkan perkongsian mangsa, kes pecah rumah di Putrajaya semakin menjadi-jadi dan warga penduduk di Putrajaya dinasihatkan untuk meningkatkan lagi tahap keselamatan pintu rumah masing-masing bagi mengelakkan kejadian yang tidak diingini berlaku.

SELEPAS solat Jumaat, saya terima panggilan dari brader Pos Laju, katanya ada parcel untuk saya. Saya jawab, kami dah dua hari balik kampung di Kota Tinggi. Brader Pos Laju itu kata, “Eh? Pintu rumah akak terbuka ni.”.

Saya terus menggeletar. Baru semalam kecoh dalam group WhatsApp komuniti, rumah jiran kena pecah masuk. Emas dan wang tunai berjumlah RM2,000 lesap.

Saya tanya, “Pintu pecah ke?”

“A’ah kak, pintu pecah ni,” jawab brader Pos Laju.

Saya terus berlari bergegas mengejutkan suami/ Bos baru lelap balik dari masjid.

“Bang! Bang! Rumah kita kena pecah!”

Saya panik, terus WhatsApp dalam group komuniti minta jiran tengokkan rumah. Ya, memang kena pecah. Saya terus call polis minta tolong datang rumah. Kami bergegas bersiap balik ke Putrajaya.

Dalam perjalanan balik, terima WhatsApp dari adik cleaner. Katanya pagi tadi dia menyapu depan rumah, pintu masih berkunci. Jam 11 pagi, jiran searas lalu depan rumah, pintu sudah terbuka.

Enam perjalanan dalam kereta terasa sangat lama. Kami banyak berdiam diri dan perasaan bercampur-baur.

Sampai di rumah, rasa nak luruh jantung. Duit tunai RM500 buat beli barang dapur untuk ramadan ini lesap. Duit itu sebenarnya tertinggal. Bilik-bilik pula macam tongkang pecah. Stor dengan dapur pun tidak terkecuali.

Sedih, marah, kecewa semuanya ada. Saya tengok suami, suami tengok saya.

Polis call minta saya nyatakan berapa nilai kerugian. Laporan sudah dibuat petang tadi oleh pihak polis. Tak banyak, tak sampai RM1,000. Tetapi duit RM500 tadi saja yang ada buat nak hidup sampai gaji nanti.

Polis pun siap pesan, sekarang ini memang dah banyak kes pecah rumah di Putrajaya. Kalau nak tinggalkan rumah, bawa sekali barang berharga.

Allah Maha Baik. Patutlah masa saya nak keluar rumah, hati saya terdetik nak bawa emas. Syukurlah masih ada sedikit pampasan. Ini pun macam nak habis nyawa menabung.

Rumah kami, rumah kedua yang kena pecah masuk dalam tempoh tak sampai 24 jam. Modus operandi jenayah sama, tak tinggalkan mangga. Polis syak suspek ada alat yang boleh merosakkan mekanisma mangga yang mungkin dilakukan oleh dua orang sebab pintu rumah kami berat. Pintu solid ringatan api. Mana mungkin orang tak dengar masa pintu dipecahkan. Benda yang suspek ambil, sama. Duit dan emas sahaja. Yang lain tidak diusik.

Malam itu, anxiety saya triggered agak teruk. Saya rasa resah lain macam. Nak tidur rumah sendiri jadi takut. Saya ajak suami balik rumah mak di Kuala Lumpur. Saya pujuk suami, “Kita rehat di KL dulu ya bang. Esok kita kemas.”

Semalam, pagi-pagi kami dah balik ke Putrajaya. Sehari suntuk kami mengemas. Brader maintenance pun dah siap repairkan pintu, pasang lock. Sambil-sambil mengemas, air mata mengalir lagi. Yalah, tak pernah kena kan. Jadi, menangislah juga mengenangkan nasib.

Selepas dah siap semua, usai solat, saja saya selak-selak tafsir Quran. Hati saya tersentak bila terbaca ayat ini:

“Apa yang ada pada kamu akan lenyap, dan apa yang ada di sisi Allah tetap kekal; dan sesungguhnya Kami akan membalas orang yang sabar dengan memberikan pahala yang lebih baik dari apa yang mereka kerjakan” (97)

“Sesiapa yang beramal salih, dari lelaki atau perempuan sedang ia beriman, maka sungguh Kami akan menghidupkan dia dengan kehidupan yang baik; dan sesungguhnya Kami akan membalas mereka, dengan pahala yang lebih baik dari apa yang mereka kerjakan” (98)

“Oleh itu, apabila engkau membaca Al-Quran, hendaklah engkau meminta perlindungan kepada Allah dari hasutan syaitan yang direjam” (99)

“Sesungguhnya syaitan itu tidak mempunyai sebarang pengaruh terhadap orang yang beriman dan yang berserah bulat-bulat kepada Tuhan mereka” (100)

Surah An-Nahl.

Saya menangis lagi. Sentap beb. Sebab saya susah hati sangat bab duit sampai solat pun tak khusyuk. Saya lupa, saya ada Allah untuk saya minta sungguh-sungguh. Sungguh saya alpa hanya sebab mengenangkan susah di dunia.

Banyak betul pengajaran pecah rumah ini buat kami. Nak-nak pula, esok sudah masuk bulan Ramadan. Kalau nak difikirkan, sikit saja Allah uji. Kalau nak dibandingkan dengan orang lain, mungkin lebih dasyat dan tragis.

Ya Allah.. Aku mintak maaf, Ya Allah, aku mintak ampun.

Terima kasih baca coretan saya disini. Saja tulis panjang-panjang, buat kenangan. Dengan rasa rendah diri, saya Nor Nazia Suhaimi, minta ampun dan minta maaf atas segala salah silap saya. Sama ada saya sedar atau tidak. Saya betul-betul minta maaf.

Selamat menyambut bulan puasa, sahabat. Semoga kita pulun kejar pahala.

Ahlan wasahlan Ya Ramadan.

Sumber: Nazia Suhaimi

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *