Cinta Budu Awek Korea Kini Vir4l Di Kelantan

Makan nasi dagang bersama budu agak luar biasa namun bagi seorang wanita Korea, You Narae, sos bilis itu adalah satu kemestian buatnya setiap kali makan nasi.

Situasi itu dialami apabila dia dan teman lelakinya, Nik Muhammad Ryzal Nik Ibrahim, 27, mengunjungi rumah seorang kenalan sempena majlis kenduri di Kampung Petani Sering di sini, semalam dan mereka dihidangkan nasi dagang sebelum wanita itu meminta budu untuk dimakan bersamanya.

Telatahnya itu mencuit hati tetamu lain, sekali gus menarik perhatian ramai untuk mendekati wanita terbabit yang agak peramah.

Wanita yang berusia 27 tahun itu mengikut Nik Muhammad Ryzal pulang ke kampung halaman jejaka itu di Taman Sari di sini, sejak 3 Jun lalu untuk menyambut Aidilfitri.

Sejak menjejakkan kaki ke Malaysia, You Narae berkata, dia sudah terpikat dengan negara ini khususnya Kelantan terutama dari segi makanan, dialek dan persekitaran yang dianggap sangat unik.

“Saya sangat sukakan Kelantan sebab banyak makanan dan dialek mereka juga lain berbanding bahasa Melayu dan itu menyebabkan saya mahu mendalami semua berkaitan Kelantan.

“Sambutan Aidilfitri sangat meriah, ramai memakai pakaian yang cantik dengan pelbagai rekaan menarik, malah makanan yang dihidangkan juga sangat sedap.

“Sejak hari raya pertama lagi saya dibawa beraya di beberapa buah rumah dan juadah yang paling saya gemar adalah lemang dan ketupat yang dimakan bersama rendang,” katanya ketika ditemui.

Mengenakan busana kurung moden warna merah hati, You Narae turut memakai selendang yang dililit sendiri dan kehadirannya di majlis kenduri itu menarik perhatian, malah ramai yang mengambil peluang bergambar kenangan.

KOTA BHARU 30 OKTOBER 2018. Nik Muhammad Ryzal, 26 berasal dari Kelantan yang menuntut di Universiti Korea, Seoul, sejak Disember tahun lalu mengajar teman wanitanya, seorang warga Korea, You Narae, 26 belajar menguasai Bahasa Melayu dan mampu menghafal lagu dikir moden dalam tempoh seminggu saja. NSTP/IHSAN NIK MUHAMMAD RYZAL

Nik Muhammad Ryzal berkata, dia mula mengenali wanita itu sejak setahun lalu ketika melanjutkan pengajian di peringkat Ijazah Sarjana Muda Kewartawanan di Universiti Korea, Seoul dan mula rapat sejak awal tahun ini.

Katanya, hubungan mereka kini semakin serius dan You Narae sudah bersedia bila-bila masa untuk memeluk Islam, malah mereka berhasrat untuk mendirikan rumah tangga pada hujung bulan ini.

Lebih menarik, Nik Muhammad Ryzal melamar You Narae di hadapan tetamu secara mengejut tanpa diketahui wanita itu dan ketika sebentuk cincin disarungkan ke jari manisnya, perasaan terharu jelas tergambar di wajahnya.

Nik Muhammad Ryzal berkata, dia menerima sokongan penuh daripada kedua-dua belah keluarga terutama ibu bapa You Narae yang menyerahkan kepada anak mereka untuk memilih mana-mana agama.

KOTA BHARU 07 JUNE 2019. Nik Muhammad Ryzal Nik Ibrahim, 27, bersama teman wanitanya You Narae, dari Korea, memberi duit raya kepada kanak-kanak ketika mengunjungi rumah seorang kenalan sempena majlis kenduri di Kampung Petani Sering. STR/SITI ROHANA IDRIS.
KOTA BHARU 07 JUNE 2019. Nik Muhammad Ryzal Nik Ibrahim, 27, bersama teman wanitanya You Narae, dari Korea, mengacau gulai kawah ketika mengunjungi rumah seorang kenalan sempena majlis kenduri di Kampung Petani Sering. STR/SITI ROHANA IDRIS.

“Sebelum ini mereka tidak menganut mana-mana agama dan saya berasa bertuah kerana perkenalan saya dengan You Narae membuatkan dia terbuka hati untuk mengenali Islam dan dia melakukan itu secara rela hati.

“Sejak beberapa bulan lalu, You Narae sudah mula belajar cara bertudung, memasak juadah Melayu, cuba bertutur dalam bahasa Melayu dan dialek Kelantan dan paling penting dia bertanya mengenai Islam.

“Beberapa hari sebelum pulang ke Kelantan, dia asyik bertanyakan saya bila ingin dibelikan baju kurung dan tudung kerana tidak sabar hendak memakainya malah tudung yang dipakainya hari ini (semalam) juga dililit sendiri walaupun 40 minit masa diambil,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *