Firman dakwa Vida beri berlian palsu – “Juara pun dapat palsu, apatah lagi tempat kelima”

NAMPAKNYA usahawan kosmetik, Datuk Seri Dr Hasmiza Othman sekali lagi terpalit dengan dakwaan pemberian hadiah berlian palsu.

Kali ini penyanyi Indonesia, Firman Siagian tampil mendakwa hadiah subang berlian yang diterima daripada Hasmiza atau dikenali sebagai Datuk Seri Vida juga tidak bernilai seperti yang diumumkan sebelum ini.

Menurut Firman, 41, barang kemas yang dikatakan bernilai RM30,000 itu diterima sebagai hadiah selaku pemenang tempat kelima program Gegar Vaganza musim keempat (GV4) yang berlangsung pada Disember 2017.

“Sekitar Mac 2018 saya mengunjungi sebuah kedai emas di Bandung untuk menyemak nilainya di Indonesia.

“Soalan pertama mereka ialah mengenai sijil berlian itu. Tapi saya maklumkan tidak ada kerana ia adalah hadiah.

“Lebih pelik apabila jurujual itu enggan memaklumkan sama ada berlian itu asli atau tidak,” katanya ketika dihubungi mStar pada Khamis.

Tambah Firman, keraguannya makin memuncak apabila mengetahui mengenai isu berlian palsu yang diterima penyanyi Aishah daripada Vida.

Kes itu itu berakhir dengan baik apabila Aishah menerima ganti barang kemas pada nilai yang sama seperti dijanjikan iaitu RM80,000.

“Kalau Aishah yang menjadi juara pun dapat berlian palsu, apatah lagi saya di tempat kelima… logiknya begitu.

“Tentu sahaja saya ingin menuntut hak yang sama,” katanya.

Tambah Firman, dia segera menghubungi Vida bagi bertanya mengenai kesahihan subang berlian yang diberikan kepadanya.

“Kalau palsu, saya juga harus tuntut benda yang sama. Jadi saya menghubungi Datuk Seri Vida menerusi Whatsapp.

“Tapi hingga kini dia tidak menghiraukan saya,” katanya.

Tambah Firman, dia terbuka untuk menyelesaikan isu ini dengan baik sekiranya hadiah subang berlian yang dikatakan bernilai RM30,000 itu juga palsu.

“Kalau hadiah saya ini palsu, saya minta diganti semula,” katanya. Sumber mstar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *