“Tidak perlu cerita kepada sesiapa… ” – Mawar Karim muhasabah diri, percaya ada hikmah disebalik perceraian

KUNJUNGAN pendakwah bebas, Ustaz Ebit Lew ke kediaman bekas isteri kepada pelakon, Fizo Omar iaitu Mawar Karim menjadi ruang untuk mereka berkongsi ilmu dan muhasabah diri.

Menurut Mawar, 30, setiap ujian yang dilalui pasti ada hikmahnya dan hanya Allah menjadi tempat terbaik untuk dia mengadu.

“Terima kasih banyak-banyak Ustaz Ebit Lew sudi datang, banyak pengisian ilmu yang kami dapat. Hanya Allah maha mengetahui apa saja yang berlaku pada kita pasti ada hikmah untuk kita muhasabah diri.

“Betul kata ustaz apa yang berlaku kita perlu mengadu dekat Allah, cerita dekat Allah, mohon dengan Allah. Tidak perlu cerita kepada sesiapa kerana yang alaminya adalah diri kita.

“Kita saja yang tahu apa yang berlaku sebenarnya. Jangan lupa dekat Allah, sebab Allah sentiasa ingat kita,” tulis Mawar di laman Instagram pada Sabtu.

Pada Jumaat, pendakwah bebas itu mengadakan sesi tazkirah di kediaman keluarga Mawar dan disiarkan secara langsung di Facebook Ebit Lew.

Pada majlis yang turut dihadiri ahli keluarga usahawan tudung dan beberapa pekerjanya itu, Ebit berkongsi mengenai ujian dan cara mendidik hati daripada terus bersangka buruk.

Dalam temubual tersebut, Mawar menganggap perceraian juga satu ujian dan menyedari turut berbuat silap dan perlu muhasabah diri.

“Saya kena teruskan kehidupan dan pasti Allah itu tidak zalim dan Dia Maha Adil. Pasti ada yang terbaik untuk saya pada masa depan.

“Saya cuba terbaik, apa pun saya nak perbetulkan diri sendiri dan utamanya nak dekatkan diri dengan Allah. Saya akui saya pun ada salah sebelum ini tetapi yang penting ialah yang nak berubah adalah saya sendiri dan minta doa pada Allah saja,” katanya.

Terdahulu, Fizo berkahwin dengan Mawar pada November 2013 dan dikurniakan seorang cahaya mata Wan Maryam, 2.

Fizo melafazkan cerai terhadap isterinya Mawar Abdul Karim pada 10 Julai lalu di Mahkamah Rendah Syariah Hulu Langat. Sumber mstar

Artikel berkaitan:“Saya tak pernah menyusahkan Mawar” – Ibu bantah Fizo bercerai, netizen punca tekanan emosi

KISAH perceraian Fizo Omar dengan Mawar Abdul Karim terus menjadi bualan netizen apabila ibu pelakon tersebut diheret sama kerana dikatakan menjadi punca perpisahan itu.

Kesal dengan tuduhan itu, Hasnah Jidin, 59, sebaliknya berkata dia menentang keras keputusan Fizo dan Mawar untuk bercerai selain selalu menasihati mereka agar menyelesaikan masalah rumah tangga dengan baik.

“Ibu mana yang nak anak bercerai. Saya selalu menasihati Fizo dan Mawar supaya selesaikan masalah dengan baik. Tak nak sampai perlu bercerai-berai.

“Saya sendiri tak setuju dan menentang keras keputusan mereka bercerai. Saya dan Mawar pun tak ada masalah dan semuanya okey,” kata Hasnah kepada mStar.

Fizo dan ibunya ditemui di kediaman mereka yang terletak di Bandar Baru Bangi pada Jumaat.

Sebelum ini, kenyataan Mawar bahawa dia terpaksa mengorbankan kasih sayang demi kebahagiaan Fizo sekeluarga menimbulkan spekulasi dalam kalangan netizen.

Rata-rata netizen membuat andaian dan mendakwa perceraian mereka disebabkan campur tangan ibu Fizo.

Dalam pada itu, Hasnah turut menjelaskan dia tidak pernah menyusahkan Mawar atau sesiapa sahaja sepanjang mereka tinggal bersama.

Menurut Hasnah, dia tidak hanya tinggal di rumah Fizo sepanjang enam tahun namun kerap berulang alik ke rumah anak-anak lain juga.

“Saya tak pernah menyusahkan sesiapa dalam rumah itu. Saya ada ramai anak tapi saya lebih selesa tinggal bersama Fizo.

“Dia yang menjaga saya sejak arwah suami meninggal dan kami sudah berbelas tahun tinggal bersama.

“Tapi sepanjang enam tahun tu, saya bukan duduk di situ sahaja tapi selalu berulang-alik tinggal di rumah anak-anak yang lain juga,” ujarnya.

Sementara itu, Fizo memberitahu ibunya mengalami tekanan apabila menerima banyak pertanyaan daripada pihak luar akibat spekulasi dan komen negatif netizen di laman sosial.

Fizo turut meminta netizen untuk berhenti mengaitkan keluarganya dan tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap netizen yang meninggalkan komen melampau.

“Spekulasi dan komen negatif netizen memberi kesan kepada ibu dan keluarga saya. Ibu saya memang tak berapa sihat sebab dia menghidap kencing manis.

“Bila cerita ini timbul, orang asyik bertanya kepada ibu saya sampai menganggu emosi dia sehingga tertekan. Saya tertanya-tanya juga apa salah ibu dan keluarga saya sampai orang buat macam ni?

“Saya harap ini kenyataan terakhir dan netizen berhenti mengaitkan ibu dan keluarga saya. Kalau ada yang komen melampau, saya akan ambil tindakan undang-undang,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *