“Dia tak tahu mengenai statusnya..” Ibu Terkejut, Anak Lelaki Mahu Jadi Wali Adik perempuan. Akhirnya Rahsia 25 tahun terlerai

“SELAMA 25 tahun saya simpan rahsia ini dan Sabtu lalu ketika dalam perjalanan ke Kuantan menemui ibu bapanya, saya beritahu perkara sebenar mengenai statusnya.

“Alhamdulillah, walaupun dia kelihatan sebak apabila dapat tahu, dia tetap tenang dan ‘cool’,” kata Zohaidah Sidin, 56.

Zohaidah adalah ibu angkat kepada Ahmad Farhan, 25, dan wanita itu memilih hari raya korban kerana anak angkatnya itu bekerja di Singapura dan pulang ke rumah mereka di Alor Gajah, Melaka sempena cuti hari raya.

“Saya cuma mahu dia dapat menjalankan tanggungjawab sebagai anak lelaki kepada orang tuanya,” katanya.

Ketika dihubungi, Zohaidah berkata, semua bermula selepas anak perempuannya akan berkahwin hujung tahun ini.

“Apabila anak perempuan saya hendak berkahwin, Ahmad Farhan menyatakan hasrat mahu menjadi wali.

“Dia tak tahu mengenai statusnya sebagai anak angkat dan saya gementar memberitahu perkara sebenar apabila bersemuka dengannya.

“Disebabkan itulah, sebelum dia pulang ke sini sempena cuti raya, saya nak cari ibu bapa kandungnya terlebih dulu supaya dia tidak kecewa dan masa sama dapat berbakti dengan ibu bapa selagi masa ada,” katanya.

Zohaidah mempunyai dua anak kandung tetapi salah seorang daripada mereka sudah meninggal dunia.

Satu mesej mengenai usaha Zohaidah mencari suami isteri, Abdul Rahman dan Zainun yang meninggalkan anak kelima mereka sejak lahir untuk dipelihara pada 1994, tular di aplikasi Whatsapp sejak seminggu lalu.

Mesej itu bertulis, “Saya ingin mencari seorang lelaki, Abd Rahman dan isterinya, Zainun. Umur dalam lingkungan akhir 60-an sekarang ini. Mereka pernah tinggal di Senai dan di Kulai sekitar akhir 80-an dan awal 90-an.

“Kami mengenali mereka ketika kami tinggal di Balai Polis Kulai. Abd Rahman berasal dari Pahang, Zainon dari Johor. Setakat yang saya kenal mereka mempunyai 6/7 anak.

“Mereka menyerahkan seorang anak mereka untuk dipelihara, sekarang berumur 25 tahun. Maklumat terakhir yang saya dapat mereka tinggal di Panching, Kuantan. Kami mencari 2 kali di Panching. Maklumat dari Balai Polis Panching, mereka berpindah ke kampung suaminya.

“Mohon sangat-sangat sesiapa yang mengenali, mengetahui mereka hubungi saya,” tulis Zohaidah yang turut menawarkan umrah kepada individu yang dapat pertemukan dia dengan suami isteri itu.

Pesara guru itu berkata, dia pernah beberapa kali ke Kuantan dan masuk ke beberapa perkampungan Felda di sekitar daerah Panching untuk menjejaki Abdul Rahman dan Zainon.

Menurutnya, ketika pencarian, dia bertemu dengan beberapa suami isteri yang mempunyai nama sama sehingga menyebabkannya hampir berputus asa.

“Selepas mesej itu tular, saya dapat panggilan daripada beberapa individu yang mendakwa ada maklumat mengenai mereka.

“Syukur Alhamdulillah selepas sekian lama ikhtiar termasuk berkongsi perkara ini di Facebook, akhirnya saya dapat berhubung dengan Abdul Rahman dan anak-anaknya yang masih menetap di Kuantan.

“Apa yang membuatkan saya sebak, isterinya Zainun sudah meninggal dunia beberapa tahun lalu, lantas membuatkan saya lebih bimbang Ahmad Farhan kecewa kerana tidak dapat lagi bertemu dengan ibu kandungnya,” katanya.

Abdul Rahman kini mengalami masalah kesihatan dan sedang dirawat di Unit Rawatan Koronari (CCU) sebuah hospital di Kuantan sejak Jumaat lalu.

Zobaidah berkata, sebaik saja Ahmad Farhan tiba di KLIA Sabtu lalu, dia serta ahli keluarga lain terus menuju ke Kuantan untuk menemukan Ahmad Farhan dan keluarga kandung.

“Saya bersyukur dia berpeluang bertemu dengan bapa dan adik beradik kandung yang lain,” katanya yang enggan bercerita lanjut mengenai pertemuan itu.

Menurutnya, dia reda jika Ahmad Farhan mengambil keputusan meninggalkannya dan kembali kepada keluarga asal kerana ‘puas hati’ dapat membesarkannya dengan penuh kasih sayang selama ini.

Zohaidah turut memohon masyarakat menitipkan doa buat bapa kandung anaknya itu yang sedang bertarung nyawa kerana serangan jantung. Sumber harian metro

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *