Pakwe umur 29 tahun Kerja bengkel je. Tak Tahan keluarga Pandang Sinis bakal suami, 2 kali Aku Daftarkan Pakwe Ambik SPM buat Mak

Aku kenal suamiku Adam ketika aku bekerja part time di sebuah pusat membeli belah. Ketika itu aku masih menunggu keputusan SPM.

Orangnya biasa sahaja. Tipikal lelaki meleis pada pemikiranku ketika itu. Geng motor, merokok dan tiada SPM pun. Usianya tua 3 tahun daripadaku. Tapi aku tak tau apa yang menyebabkan aku dengan dia rapat. Sikapnya yang mengambil berat mungkin.

Selepas keputusan SPM diumumkan, aku berjaya mendapat keputusan yang membanggakan. Dapat pula tawaran untuk pengajian Asasi di salah sebuah Universiti terkemuka Malaysia. Seterusnya aku menyambung pengajian ke peringkat Ijazah pula.

Tapi aku dan Adam masih berhubungan. Ketika itu masih sebagai teman. Adam pula masih begitu. Kaki lepak, sekarang geng kereta dan masih merokok. Kerja pula sudah beberapa tahun kerja di bengkel membaiki kereta.

Aku habis ijazah dapat tawaran bekerja di sebuah syarikat swasta. Gaji biasa saja. Cukupla untuk cover perbelanjaanku dan kirim sedikit wang untuk ibu bapaku di kampung.

Satu hari Adam mengajakku untuk berjumpa. Tak ku sangka dia melamarku untuk jadi isterinya. Aku minta dia beri aku masa. Aku solat istikharah. Tanya teman rapatku. Tapi jawapannya semua ada di hatiku. Aku terima Adam.

Aku kenalkan Adam pada kedua ibu bapaku. Adik beradikku. Bapaku ustaz terkenal di kampung. Abangku peguam. Seorang lagi engineer. Kakakku ada yang doktor, ada yang cikgu. Pendek kata semua adik beradikku menjawat jawatan yang hebat.

Tapi Adam, cuma mekanik di bengkel buruk. Datang dari keluarga yang berpecah belah. Adik beradiknya semua biasa sahaja. Malah ada yang mengikut jejaknya tidak meneruskan SPM.

Dari raut wajah makku, aku tau mak tidak setuju. Lihat pula wajah along, angah, kakcik, kaklang, adik, usu. Semua berpandangan sinis. Hanya ayah sahaja yang melayan Adam dengan elok.

Selepas Adam balik, seluruh keluargaku menyuruhku melupakan Adam. Kecuali ayah. Makku membentak mengatakan aku ada ijazah berbeza dengan Adam yang tiada SPM pun.

Ayah cuma menasihatiku untuk berfikir secara dalam lagi. Tahun demi tahun aku masih bersama Adam. Pernah putus tapi kami sama tak boleh melupakan.

Pernah sekali aku bersemuka dengan mak, bertanya apa yang mak benci sangat dengan Adam. Mak kata mak tak suka Adam sebab dia tak ada SPM pun!! Mak nak menantu cikgu mak kata. Aku sedih. Menangis semahu-mahunya.

Aku cuba buka lembaran baru. Aku sambung master dan cadangkan pada Adam untuk ambil SPM semula. Mula – mula Adam seperti menolak tapi bila dia fikirkan semula, mungkin itu satu jalan untuk memenangi hati makku. Maka dia setuju.

Aku tolong Adam daftar untuk SPM. Waktu tu usia Adam 29 tahun. Gagal kali pertama sebab banyak perkara dia lupa. Aku daftarkan lagi tahun kemudiannya. Adik dan abangku menjadi lembut hati melihat betapa aku berusaha merubah Adam. Mereka sama membantuku mengajar Adam untuk SPM.

Rakan-rakan Adam geng melepak mula menyucuk Adam untuk meninggalkan aku. Ketawakan Adam kenapa bersusah payah untuk ambil SPM semula. Hampir Adam tewas tapi keikhlasan hatinya terhadap hubungan kami menguatkan dirinya terhadap matlamat utama.

Akhirnya setelah 2 kali SPM, Adam berjaya lulus SPM. Betapa gembiranya hatiku memang tak dapat digambarkan. Aku bersyukur Ya Allah!!

Tapi makku masih belum boleh menerima Adam. Puas abangku dan adikku pujuk, mak masih dengan pendiriannya. Adikku pun sudah berkahwin. Hanya aku yang tinggal.

Bukan aku tak pernah terfikir untuk kahwin lari, tapi Adam menolak. Dia ingin makku menerima dirinya jika tidak, apa maknanya jika selepas kahwin, makku masih membenci dirinya? Betul.

Aku akur dengan katanya. Adam mula berubah sedikit demi sedikit. Belajar mendalami agama. Berhenti merokok. Ya Allah. Puas aku menasihatinya, akhirnya dia berjaya berhenti dengan azamnya sendiri.

Aku juga sudah menamatkan masterku. Adam pula sudah menyambung beberapa sijil kemahiran dalam bidang automotif dan akhirnya membuka satu bengkel kecil di kampungnya.

Hari demi hari bengkelnya semakin maju. Melihat banyak perubahan Adam selama bertahun-tahun ini, alhamdulillah makku menerima Adam secara terbuka setelah dipujuk oleh ayahku.

Alhamdulillah kami telah berkahwin dan mempunyai 2 cahayamata. Selepas berkahwin, Adam menggalakkanku untuk menyambung PHD dan kini aku sedang struggle untuk menghabiskan pengajian. Alhamdulillah bengkel Adam juga semakin maju.

Pesananku jangan sekali-kali kita melangkaui ibu bapa kita demi mengejar kebahagiaan sendiri. Tanpa bantahan keluargaku mungkin Adam bukanlah seperti Adam yang kini.

– Hawa (Bukan nama sebenar)

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *