Pukul 1 pagi, ditahan wanita ditepi jalan. Tiba2 terbau satu bau yang sangat pelik. Aku mula rasa tak sedap hati

Foto sekadar hiasan. Kiriman Bakar. Coretan Aneh Pemandu Teksi

Pengalaman adalah guru yang terbaik dalam hidup kita. Sepanjang hidup aku, aku dah ceburi macam-macam bidang pekerjaan. Tapi pengalaman seram yang tak pernah aku lupakan apabila aku pernah bekerja sebagai pemandu teksi.

Kerja sebagai pemandu teksi ni tak kira masa. Memang letih, tapi kalau rajin memang pulangannya agak lumayan. Untuk mencari pendapatan lebih, malam pun aku tetap bekerja mencari penumpang.

Aku masih ingat lagi pada malam itu teksi aku ditahan oleh seorang wanita di tepi jalan. Agak menyeramkan melihat wanita tersebut kerana wanita itu berbaju serba putih dan berambut panjang hingga ke paras pinggang. Wanita ni kelihatan seperti berusia 30-an.

Aku memberhentikan teksiku dan wanita tersebut masuk dan duduk di tempat duduk belakang. Aku pun mula memandu kembali dan bertanya. “Cik nak ke mana?” Wanita itu menjawab “Kampung Seri Asahan”

Aku terfikir di dalam hati, destinasi ni agak jauh dari bandar. Jam sudah menunjukkan pukul 1.00 pagi, perjalanan ke arah Asahan jauh dan jalannya sunyi. Ahh.. aku tak kisahlah, malam bukannya selalu boleh dapat penumpang, aku redah sahajalah!, bisik hatiku.

Sebagai pemandu teksi selalunya aku akan cuba berbual-bual dengan penumpang untuk elakkan rasa mengantuk. Aku pun mula bertanya pada wanita tersebut untuk mulakan perbualan: “Nama cik apa ya?”

Wanita tersebut hanya mendiamkan diri. mungkin aku bercakap perlahan kerana wanita tersebut duduk di belakang. aku bertanya sekali lagi dengan kuat sikit: “Nama cik apa ya?”

Wanita tersebut masih mendiamkan diri. aku terfikir mungkin dia tak mahu berbual dengan aku. Aku cuba berfikir positif sahaja ketika itu. Tak apalah, pinggan tak retak, nasi tak dingin, orang dah tak nak borak, aku pun tak hingin. aku berbicara di dalam hati.

Gelap gelita malam yang pekat tanpa lampu jalan membuatkan aku lebih berhati-hati ketika memandu. Tiba-tiba aku terbau satu bau yang sangat busuk seperti najis. Aku mula rasa tidak sedap hati. Tapi aku hanya berdiam diri sahaja dan meneruskan perjalanan untuk menghantar wanita tersebut.

Setelah sejam perjalanan, aku tiba di kawasan Asahan. Wanita tersebut mula menyapa aku: “Abang Rahmat, berhentikan saya di depan ini” Tergamam aku dibuatnya, macam mana wanita ini boleh tahu nama aku?

Aku buat-buat macam biasa dan beranikan diri ketika itu memandangkan ketika itu aku sudah boleh menurunkan penumpang ini. Aku segera berhentikan kereta ditempat yang ditunjukkan wanita tadi, alangkah terpegunnya aku bila melihat ada sebuah rumah yang begitu besar di kawasan pedalaman dan ceruk begini. Wanita tersebut berkata pada aku: “Abang Rahmat tunggu dulu ya, saya tak ada duit tambang sekarang. Saya masuk rumah dulu ambil.”

Ikutkan hati memang aku nak belah cepat dari tempat tersebut. Aku dah mula rasa ada benda yang tak kena dengan wanita ni. Tapi aku dah pandu jauh malam itu, takkan aku tak boleh tunggu. Aku segara menjawab: “Ok cik, saya tunggu”. Wanita itu tersenyum manja pada aku.

Wanita tersebut keluar dari kereta, pintu pagar rumahnya tiba-tiba terbuka dengan sendiri dan wanita tersebut terus masuk ke dalam rumah. Degupan jantung aku mulai laju. Siapa pulak yang bukakan pagar rumah ni? Aku bingung sendirian. Memandangkan aku berada di dalam kereta, aku masih lagi boleh menahan ketakutan aku pada waktu itu.

Tiba-tiba telefon aku berdering, ada nombor yang tidak dikenali menelefon aku. Pelik apabila waktu lewat pagi begini ada orang yang tak dikenali menelefon aku. Aku menjawab panggilan tersebut.

“Abang Rahmat, boleh masuk ke dalam rumah saya sebentar?’ Aduh! wanita tadi rupanya. Macam mana dia boleh tahu nombor telefon aku? Aku bertanya dibenak fikiranku. Aku dah semakin cemas, pandangan aku pada wanita ini semakin mencurigakan. Aku terlalu panik ketika itu dengan tak sengaja aku terjawab: “Ok cik”.

Aduhai, mana mungkin aku keluar dari kereta aku ini. Seramnya pada waktu itu bukan kepalang. Tapi disebabkan aku belum dapat lagi upah tambang, aku cuba beranikan diri keluar dari kereta dan masuk ke rumah wanita itu.

Aku mula melangkahkan kaki menuju ke pintu rumah wanita tersebut. Sedang aku berjalan malangnya aku tersepak seketul batu. “Aduh!” Aku mengeluh. Macam manalah boleh ada batu bata di tengah jalan. Nasib lah tak luka kaki aku. Aku meneruskan langkah ke depan pintu rumah wanita tadi.

Aku berdiri di depan pintu rumah dan menjengah keadaan dalam rumah wanita itu. Aku terdengar suara wanita itu dari dapur: “Masuk dulu bang, jangan risau, adik lelaki saya ada di dalam rumah”.

Lega hati aku bila dia berkata begitu. Aku pun masuk ke dalam rumah. Wanita itu menjemput aku masuk dan minum air kopi yang telah dihidangkannya: “Jemput minum dulu bang”. Wanita itu mempelawa.

Aku pun dengan tanpa segan silu duduk dan mula mengangkat cawan untuk minum. Sedang aku minum, terdengar wanita itu menutup pintu rumahnya. Katanya kelkatu masuk jika tak di tutup pintu. Aku cuma berfikir positif sahaja memandang aku percaya bahawa adik lelaki wanita tersebut juga ada di dalam rumah.

Wanita tersebut memandang pada aku dan berkata: “Hati-hati bila berjalan didepan tu. Maaflah tadi abang tersepak batu kan”. Menggigil aku pada waktu itu. bagaimana wanita itu boleh tahu sedangkan tadi dia berada di dapur. Banyak persoalan bermain di minda aku.

Adakah wanita ini pengamal ilmu hitam? fikiran nakal aku mula meneka. Wanita tersebut meneruskan perbualan: “Berapa saya hutang abang?” Aku menjawab “RM20 cik”. “Kejap saya ambil duit”. Balas wanita tersebut.

Wanita itu pergi ke meja solek berdekatan dengan televisyen untuk mengambil wang. Ketika itu kedudukan wanita tersebut membelakangi aku. Aku mula teringat pesan rakan aku di kampung, jika kita mahu tahu orang yang amalkan ilmu hitam, kita perlu duduk dibelakangnya dan mengejeknya dari belakang.

Jika dia tahu kita sedang mengejeknya maka sah dia adalah pengamal ilmu hitam, sebab syaitan yang dibela oleh pengamal ilmu hitam ini sentiasa duduk di bahunya dan sebab itu dia tahu apa yang kita buat walaupun kita berada dibelakangnya.

Aku pun cuba lah tips yang disarankan oleh rakan aku di kampung itu. Aku mengejek dengan mengeluarkan lidah dibelakang wanita tersebut. Wanita tersebut tiba-tiba bersuara: “Kenapa abang Rahmat jelir-jelir lidah? Kopi saya kelat ke?”.

Macam nak runtuh jantung aku. Aduhai apalah malang nasib aku malam itu. Kenapa lah aku masuk dalam rumah wanita syaitan ini. Aku nekad pada waktu itu untuk terus meninggalkan rumah tersebut dan lari. Aku gegas berdiri dan terus menerjah ke pintu rumah.

Aku menolak pintu tersebut namun aku tak berjaya. Pintu rumah itu tidak boleh dibuka, puas aku menarik dan menolak pintu tersebut. Aku tak berputus asa. Aku pergi ke dapur pula aku cuba membuka pintu untuk keluar. Puas juga aku menolak dan menarik pintu tersebut, namun aku tetap tak berjaya. takutnya aku pada waktu itu hanya Tuhan sahaja yang tahu.

Aku mulai putus asa untuk membuka pintu tersebut. Muncul wanita tersebut di dapur rumah. Wanita itu berkata: “Abang Rahmat nk pergi mana? Tak nak ambil duit dulu ke?”. Sambil menunjukkan wang RM20 kepada aku. Aku berkata pada wanita itu: “Tak mengapalah cik, lepaskanlah saya, saya minta maaf jika saya ada buat apa-apa salah, tolonglah, saya nak keluar dari rumah ni”.

Wanita tersebut berkata: “Pintu rumah saya ni semuanya jenis ‘sliding door’. Nak buka abang kena selak. Jika abang tolak memang tak akan bukaklah”.

Aku menyelak pintu rumah itu dan terus keluar, setibanya di luar rumah wanita tersebut. Aku mula perasan ada CCTV yang dipasang di luar rumah dan pagar rumah wanita ini menggunakan pagar automatik. Aku terfikir sendiri patut lah tadi pagar ni terbuka sendiri dan mungkin melalui CCTV tadi wanita itu dapat tahu yang aku telah tersepak batu.

Wanita itu sekali lagi bertanya: “Abang Rahmat betul ke tak nak duit ni, terbaiklah bang, saya bagi rating 5 stars dalam Grabcar ya”. Oh.. patut lah die tahu nama dan nombor telefon aku. Aku sebelum ni bawak teksi je, baru je cuba-cuba nak buat Grabcar ketika itu. Manalah aku tahu sangat pasal application Grabcar ni.

Dengan tersimpul malu aku membalas: “Ok cik, jangan risau, saya ikhlas hantar cik, tak perlu bayar”. Malunya bukan kepalang pada waktu itu.

Aku segera melangkahkan kaki ke kereta dan terus memandu keluar dari kawasan Asahan. Hm.. makin kuat bau getah sekerap pagi-pagi buta ini. Bisik hatiku.

Kredit : Fiksyen Shasha

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *