Tan Sri Dr. Jeffrey Cheah: Dari Tanah Lombong ke Bandar Bertaraf Dunia
“Success is not about how much you gain, but how much you give back.”
Dalam senarai tokoh usahawan terbilang Malaysia, nama Tan Sri Dr. Jeffrey Cheah Fook Ling berdiri megah. sebagai lambang kejayaan hasil kerja keras, wawasan dan semangat memberi kembali kepada masyarakat. Beliau bukan sekadar tokoh korporat berjaya, malah dikenali sebagai dermawan yang menjadikan pendidikan dan pembangunan lestari sebagai misi hidupnya.
Dilahirkan di Pusing, Perak pada tahun 1945, Jeffrey Cheah berasal daripada keluarga sederhana. Sejak muda, beliau memiliki minat yang mendalam terhadap bidang perniagaan dan pembinaan.
Selepas menamatkan pengajian dalam bidang perakaunan di Tunku Abdul Rahman College. Beliau memulakan kerjaya dalam sektor perkhidmatan awam sebelum mengambil keputusan berani untuk menceburi dunia keusahawanan.
Langkah besar beliau bermula pada tahun 1974. Apabila menubuhkan Sunway Group, yang pada awalnya hanya merupakan syarikat kecil dalam industri perlombongan dan pembinaan. Namun, dengan visi jauh ke hadapan. Beliau melihat potensi besar dalam pembangunan bandar terancang. Ketika ramai menganggap kawasan bekas lombong di Bandar Sunway, Selangor sebagai tanah mati, Jeffrey Cheah melihat peluang luar biasa di sebaliknya.
Hasil kerja keras dan keyakinan, kawasan tandus itu kini berubah menjadi sebuah bandar moden serba lengkap Bandar Sunway, yang menempatkan institusi pendidikan bertaraf antarabangsa, taman tema terkenal Sunway Lagoon, pusat membeli-belah Sunway Pyramid, hospital, dan pelbagai kemudahan lain. Bandar ini sering dijadikan contoh model pembangunan lestari yang berjaya di Malaysia.
DALAM BIDANG PENDIDIKAN
Selain perniagaan, Jeffrey Cheah amat menitikberatkan aspek pendidikan. Beliau percaya bahawa pendidikan ialah kunci untuk membebaskan seseorang daripada belenggu kemiskinan dan membuka jalan kepada kemajuan negara. Oleh itu, beliau menubuhkan Sunway Education Group yang menaungi pelbagai institusi seperti Sunway University dan Monash University Malaysia. Melalui Jeffrey Cheah Foundation, beliau memindahkan hampir keseluruhan aset perniagaannya dalam bidang pendidikan kepada yayasan bukan berasaskan keuntungan, langkah yang jarang dilakukan oleh mana-mana usahawan besar.
Inisiatif ini membolehkan hasil keuntungan disalurkan semula kepada biasiswa, pembangunan pendidikan dan kerja amal. Sehingga kini, yayasan tersebut telah menyalurkan lebih RM600 juta dalam bentuk biasiswa dan bantuan kewangan kepada pelajar dari pelbagai latar belakang.
Atas sumbangan besar beliau kepada masyarakat dan negara. Tan Sri Dr. Jeffrey Cheah telah menerima pelbagai anugerah dan pengiktirafan dalam serta luar negara.
Antaranya termasuk Darjah Kebesaran Panglima Setia Mahkota (PSM) yang membawa gelaran Tan Sri, dan pelbagai anugerah dalam bidang pembangunan lestari dan tanggungjawab sosial korporat.
Falsafah hidup beliau sederhana tetapi bermakna:
“Success is not about how much you gain, but how much you give back.”
Kisah hidup Tan Sri Dr. Jeffrey Cheah membuktikan bahawa kejayaan sejati bukan sekadar diukur melalui kekayaan atau status. Tetapi melalui warisan nilai dan sumbangan yang ditinggalkan kepada masyarakat. Dari tanah bekas lombong hingga menjadi bandar moden bertaraf dunia, legasi beliau kekal menjadi inspirasi kepada generasi usahawan masa depan.











