Coco Chanel. Wanita di Sebalik Revolusi Fesyen.

2025-05-04

Coco Chanel. Wanita di Sebalik Revolusi Fesyen. | NALURI KINI : Coco Chanel bukan sekadar nama dalam dunia fesyen, beliau adalah simbol revolusi gaya dan kebebasan wanita moden. Dikenali dengan rekaan ikonik seperti Chanel suit dan little black dress, Chanel mengubah landskap fesyen dengan menekankan keselesaan dan kesederhanaan dalam penampilan wanita. Lebih daripada sekadar pereka, beliau adalah lagenda yang meninggalkan legasi abadi dalam industri fesyen.

Kehidupan Awal yang Penuh Cabaran

Dilahirkan sebagai Gabrielle Bonheur Chanel pada 19 Ogos 1883 di Saumur, Perancis, kehidupan awalnya jauh daripada glamor. Selepas kematian ibunya, beliau dimasukkan ke rumah anak yatim oleh bapanya. Di situ, Chanel diajar menjahit oleh biarawati, kemahiran yang akhirnya membuka jalan ke dunia fesyen.

Nama “Coco” berasal daripada kerjayanya sebagai penyanyi di kelab malam Vichy dan Moulins, di mana beliau sering menyanyikan lagu yang membawa gelaran itu.

Permulaan Empayar Fesyen

Pada usia 20-an, Chanel memulakan perniagaan menjual topi di Paris dengan bantuan kekasihnya, Etienne Balsan, dan kemudian Arthur “Boy” Capel. Kedainya yang pertama dibuka di Rue Cambon pada tahun 1910. Beliau mendapat perhatian apabila mencipta gaun daripada kain jersey yang ringkas namun menarik, sekaligus mencetuskan fenomena baru dalam gaya wanita.

Rekaan Ikonik & Wangian Pertama

Dalam era 1920-an, Chanel memperkenalkan rekaan revolusioner seperti Chanel suit, jaket tanpa kolar dipadankan dengan skirt yang selesa serta little black dress, yang menjadikan warna hitam sebagai lambang elegan. Chanel berjaya mengubah persepsi fesyen wanita, menggantikan korset dengan pakaian yang lebih bebas dan praktikal.

Pada masa yang sama, beliau melancarkan minyak wangi pertamanya, Chanel No. 5, yang menjadi antara wangian paling terkenal di dunia. Minyak wangi ini merupakan yang pertama menggunakan nama pereka sebagai jenama.

Kejatuhan Sementara dan Kebangkitan Semula

ekonomi global dan Perang Dunia Kedua memaksa Chanel menutup perniagaannya dan memecat semua pekerja. Selepas perang, beliau mengasingkan diri di Switzerland buat beberapa tahun. Namun, pada usia 70 tahun, beliau membuat kemunculan semula yang hebat dalam dunia fesyen. Walaupun kritikan awalnya pedas, beliau sekali lagi menawan hati penggemar fesyen dengan rekaan yang feminin dan selesa.

Akhir Hayat dan Legasi Kekal

Coco Chanel meninggal dunia pada 10 Januari 1971 di Hotel Ritz, Paris. Beliau tidak pernah berkahwin, tetapi dikenang sebagai wanita berdikari dan pencipta gaya yang kekal relevan hingga kini. Jenama Chanel kini dimiliki keluarga Wertheimer dan terus berjaya di peringkat global.

KHALIFAH MEDIA NETWORKS

Leave the first comment

Artikel Lain