Elon Musk. Usahawan dan Inovator Teknologi. | NALURI KINI : Elon Musk ialah seorang tokoh usahawan dan inovator teknologi terkenal kelahiran Pretoria, Afrika Selatan. Beliau dikenali sebagai pengasas bersama syarikat-syarikat terkemuka dunia seperti PayPal, Tesla, SpaceX, OpenAI dan Hyperloop. Dengan visi besar untuk masa depan manusia, Elon aktif dalam pembangunan tenaga boleh diperbaharui, penerokaan angkasa lepas dan teknologi pintar, termasuk impiannya untuk menjadikan manusia sebagai spesies antara planet dengan menubuhkan koloni di Marikh.
Latar Belakang
Elon Musk dibesarkan di Afrika Selatan bersama ibu bapanya – seorang jurutera dan seorang pakar pemakanan. Pada usia 10 tahun, beliau mula berminat dengan teknologi selepas mendapat komputer pertamanya, Commodore VIC-20. Dua tahun kemudian, beliau menjual permainan video pertama ciptaannya, Blastar, dengan harga $200.
Namun, zaman kanak-kanaknya penuh cabaran. Elon menjadi mangsa buli dan menghadapi hubungan yang sukar dengan bapanya. Tekanan ini menyebabkan beliau mengalami krisis emosi semasa remaja. Pada usia 17 tahun, Elon berpindah ke Kanada untuk tinggal bersama ibunya. Dengan bantuan saudara sebelah ibu, beliau menyambung pelajaran di University of Pennsylvania, dalam jurusan Perniagaan dan Fizik.
Permulaan Karier di Dunia Internet
Pada tahun 1995, Elon, adiknya Kimbal, dan rakan mereka menubuhkan Zip2, syarikat pembangun laman web untuk media. Pada 1999, Zip2 dijual kepada Compaq dengan harga $300 juta.
Elon kemudian menubuhkan X.com, syarikat pembayaran dalam talian yang bergabung dengan Confinity dan menjadi PayPal. Pada 2002, PayPal dijual kepada eBay dengan nilai $1.5 bilion.
Tesla Motors: Kereta Elektrik untuk Masa Depan
Pada tahun 2004, Elon menubuhkan Tesla Motors bersama rakan-rakannya. Mereka menghasilkan kereta elektrik berprestasi tinggi, seperti Tesla Roadster dan Model X. Menjelang 2012, lebih 2,000-unit Tesla Roadster terjual, dan pada 2015, mereka memperkenalkan Model X yang sesuai untuk semua jenis jalan.
SpaceX: Langkah Menuju Marikh
Pada tahun 2002, Elon menubuhkan SpaceX untuk menjadikan penerokaan angkasa lebih mampu milik. Syarikat ini membangunkan roket boleh guna semula seperti Falcon. Pada tahun 2008, SpaceX menandatangani kontrak dengan NASA untuk 12 penerbangan ke angkasa.
Misi Mengubah Dunia
Elon Musk bercita-cita untuk mengubah dunia melalui teknologi hijau dan inovasi angkasa. Melalui projek seperti SolarCity, Tesla dan SpaceX, beliau berusaha membina masa depan yang lestari dan bebas karbon.