Jimmy

Sentuhan Malaysia di Pentas Global Ini Kisah Kejayaan Datuk Jimmy Choo.

2025-11-03

Sentuhan Malaysia di Pentas Global Ini Kisah Kejayaan Datuk Jimmy Choo.

“Langkah besar Jimmy Choo bermula apabila beliau membuka bengkel kecil di kawasan Hackney, London pada tahun 1986. Di situlah lahirnya pelbagai rekaan kasut yang kemas, halus dan penuh karakter.”


Jimmy

Dalam dunia fesyen yang penuh dengan nama besar dari Paris, Milan dan New York. Muncul seorang anak Malaysia yang berjaya menempatkan dirinya di barisan hadapan pereka kasut mewah dunia Datuk Jimmy Choo Yeang Keat.

Nama beliau bukan sekadar sinonim dengan gaya dan elegan. Tetapi juga menjadi simbol kejayaan luar biasa hasil daripada ketekunan, keberanian dan minat yang mendalam terhadap seni.

Dilahirkan pada tahun 1961 di Pulau Pinang, Jimmy Choo berasal daripada keluarga pembuat kasut tradisional. Ayahnya merupakan seorang tukang kasut yang dihormati di kawasan setempat, dan dari situlah beliau mewarisi kemahiran serta minat terhadap dunia rekaan.

Sejak usia muda, Choo sudah biasa dengan bau kulit, benang dan gam kasut elemen yang kelak menjadi bahagian penting dalam kehidupannya sebagai pereka tersohor.

Berbekalkan cita-cita besar. Beliau berhijrah ke London untuk menyambung pengajian di Cordwainers Technical College (kini dikenali sebagai London College of Fashion). Walaupun hidup dalam serba kekurangan, beliau bekerja sambilan di restoran dan kilang bagi menampung kos pengajian. Kecekalan itu akhirnya membuahkan hasil apabila beliau menamatkan pengajian dengan cemerlang pada tahun 1983.

LANGKAH BERMULA

Langkah besar Jimmy Choo bermula apabila beliau membuka bengkel kecil di kawasan Hackney, London pada tahun 1986. Di situlah lahirnya pelbagai rekaan kasut yang kemas, halus dan penuh karakter.

Titik perubahan terbesar datang apabila hasil rekaannya dimuatkan dalam majalah Vogue pada tahun 1988. Dalam sekelip mata, namanya meniti bibir dunia fesyen, dan antara pelanggan terawal yang tertarik dengan karyanya ialah Puteri Diana, mendiang Puteri Wales. Puteri Diana dikenali sering memesan kasut khas daripada beliau kerana keselesaan dan keanggunan rekaannya.

Kejayaan itu membawa kepada penubuhan jenama Jimmy Choo Ltd pada tahun 1996, bersama rakan kongsi Tamara Mellon, editor aksesori majalah Vogue ketika itu.

Jenama ini berkembang pesat, menjadi simbol kemewahan dan prestij di butik-butik eksklusif seluruh dunia. Dari Hollywood hingga ke karpet merah Cannes. Kasut Jimmy Choo menjadi pilihan bintang ternama seperti Sandra Bullock, Nicole Kidman dan Madonna.

Pada tahun 2001, Datuk Jimmy Choo menjual pegangan sahamnya dalam syarikat tersebut, namun beliau tidak pernah meninggalkan dunia fesyen. Melalui label Jimmy Choo Couture, beliau terus menghasilkan rekaan buatan tangan yang dipesan khas, mengekalkan kualiti dan nilai seni yang menjadi identiti peribadinya.

Sumbangan besar beliau kepada industri fesyen menjadikannya penerima Darjah Panglima Jasa Negara (PJN) pada tahun 2003, yang membawa gelaran Datuk. Kini, beliau bukan sahaja dikenali sebagai pereka kasut legenda, tetapi juga sebagai ikon inspirasi kepada generasi muda Malaysia untuk berani bermimpi dan mengejar cita-cita tanpa batasan.

Kisah Datuk Jimmy Choo membuktikan bahawa kejayaan tidak datang secara kebetulan. Sebaliknya lahir daripada gabungan ilmu, kerja keras dan kerendahan hati. Dari bengkel kecil di Pulau Pinang hingga ke pentas glamor dunia. Beliau kekal menjadi bukti bahawa bakat anak Malaysia mampu bersinar di mana-mana jua.

Leave the first comment

Artikel Lain