Tun Tengku Maimun Tuan Mat. Inspirasi Dunia Guaman.

2025-04-23

Tun Tengku Maimun Tuan Mat. Inspirasi Dunia Guaman. | NALURI KINI : Tun Tengku Maimun binti Tuan Mat dilahirkan pada 2 Julai 1959 di Kota Bharu, Kelantan. Beliau mencipta sejarah sebagai wanita pertama yang dilantik sebagai Ketua Hakim Negara Malaysia, menjadikannya simbol ketegasan, kebijaksanaan dan kemajuan wanita dalam sistem kehakiman negara. Beliau memperoleh Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang dengan kepujian dari Universiti Malaya pada tahun 1982.

Permulaan Kerjaya Undang-Undang

Kerjaya beliau bermula di Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (KESEDAR) sebagai Pegawai Undang-Undang. Pada tahun 1984, beliau berkhidmat di Majlis Perbandaran Seremban. Dua tahun kemudian, beliau menyertai Perkhidmatan Kehakiman dan Perundangan sebagai Penolong Penggubal Parlimen di Jabatan Peguam Negara. Beliau kemudian menyandang pelbagai jawatan penting seperti Majistret, Peguam Persekutuan, Penolong Pendaftar Kanan dan Pegawai Khas kepada Ketua Hakim Negara.

Sumbangan beliau dalam sistem kehakiman diteruskan sebagai Hakim Mahkamah Sesyen dan Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan Malaysia — jawatan tertinggi dalam pentadbiran kehakiman sebelum bergelar hakim.

Pendakian ke Puncak Kehakiman

Pada 1 Ogos 2004, beliau dilantik sebagai Pesuruhjaya Kehakiman Mahkamah Tinggi Malaya dan dinaikkan sebagai Hakim Mahkamah Tinggi setahun kemudian. Beliau kemudiannya dilantik sebagai Hakim Mahkamah Rayuan pada Januari 2013. Puncak pencapaiannya tercapai pada 2 Mei 2019 apabila beliau menjadi wanita pertama memegang jawatan Ketua Hakim Negara.

Ketegasan dalam Mengadili Kes Berprofil Tinggi

Tun Tengku Maimun dikenali dengan integriti tinggi dalam mengendalikan kes-kes rumit dan berprofil tinggi. Dalam kes Altantuya Shaaribuu, beliau menjadi antara hakim yang terlibat. Dalam kes Karpal Singh, beliau satu-satunya hakim yang tidak bersetuju dengan sabitan atas tuduhan hasutan. Manakala dalam kes SRC International melibatkan Datuk Seri Najib Razak, beliau mengetuai panel tujuh hakim Mahkamah Persekutuan yang mengekalkan sabitan terhadap bekas Perdana Menteri.

Anugerah dan Pengiktirafan

Sebagai pengiktirafan atas sumbangan beliau dalam sistem kehakiman negara, beliau telah dikurniakan Darjah Seri Setia Mahkota yang membawa gelaran ‘Tun’. Beliau juga merupakan ahli Middle Temple di London, salah satu institusi kehakiman paling berprestij di dunia.

KHALIFAH MEDIA NETWORKS

Leave the first comment

Artikel Lain